Selamat Datang Ke Blog Sentuhan Kasih Semurni Impian

Thursday 28 October 2010

Tart Kelopak dan Piza

1.  TART KELOPAK
SELAIN nampak menarik kerana bentuknya seperti bunga, tat kelopak ini memang sedap. Jangan tunggu musim perayaan untuk membuatnya. Tidak seperti tat gulung atau dikenali juga sebagai Biskut Nastar, tat kelopak agak mudah dibuat.

Anda hanya perlukan acuan berbentuk bunga pecah enam. Ini bermakna, ia mempunyai enam kelopak di sekeliling. Jika acuan bunga pecah lapan, bermakna kelopaknya lebih kecil. Namun, anda perlu berhati-hati kerana kelopak begini mudah patah bila diubah dari papan pencanai ke dalam acuan.

Anda juga mesti sediakan tin patty yang mempunyai lubang-lubang kecil. Alas setiap satu dengan kertas atau mangkuk kek. Pilihlah yang sama saiz dengan lubang dan bercorak menarik. Dengan cara itu sahaja, tat akan terbentuk dengan elok.

Setiap kali membuat sebarang jenis tat, anda tentu mahukan inti yang enak. Inti akan menentukan sama ada tat anda sedap atau sebaliknya. Jika tidak mahu membeli yang sudah siap di kedai, anda perlu memilih buah nanas yang ranum dan manis. Namun begitu, pastikan ia tidak terlalu ranum.

Nanas yang terlalu masak mengandungi terlalu banyak air. Ini menyukarkan bila anda hendak memarutnya sendiri. Jika anda membuat dalam kuantiti yang banyak, bolehlah digunakan food processor dengan mata pisau pemarut yang sesuai. Kemudian, tapiskan air nanas. Ini untuk mengelakkan daripada memasaknya terlalu lama.

Kenapa sesetengah tat begitu rapuh sehingga ia cair di dalam mulut? Ini ada kaitan dengan jenis mentega yang anda gunakan. Mentega terbaik tentulah yang termahal. Ia diperbuat daripada krim atau lemak susu. Mentega tulen ini mudah cair atau lembik bila dibiar pada suhu bilik jika dibandingkan dengan mentega campuran.

Ada dua jenis mentega iaitu salted dan unsalted. Jenis salted mempunyai campuran garam dan lazimnya digunakan bila membuat pastri atau biskut. Manakala mentega unsalted yang lebih tawar sesuai untuk membuat kek. Namun kek tertentu masih memerlukan campuran garam untuk menaikkan rasanya.

Mentega campuran adalah kombinasi krim susu dengan minyak sayuran. Teksturnya tidak sehalus mentega tulen dan sukar untuk cair. Sesuai digunakan untuk membuat krim atau aising mentega. Ini kerana aising mentega perlu dipukul hingga gebu supaya ia ringan dan sedap dimakan.

Seperti membuat biskut atau tat lain, jangan pukul marjerin, mentega dan gula terlalu lama. Ini akan membuat biskut kembang dan tidak sempurna bentuknya. Memadai memukul dengan senduk kayu sahaja. Sebaik sahaja nampak sebati, terus masukkan bahan-bahan lain dan gaul perlahan.

Setelah memasukkan hampir semua bahan ayak, uli dengan tangan supaya menjadi doh. Jangan uli terlalu lama atau seperti membuat doh karipap. Haba dari tangan akan membuatkan doh tat menjadi berminyak dan menyukarkan bila anda hendak menerapnya.

Sesetengah orang memang mempunyai haba yang banyak di dalam badan dan mereka juga sukar bila membuat hiasan fondan pada kek. Ini kerana gula aising mudah berair bila mereka menyentuh atau mengulinya terlalu lama. Bagi mereka yang mempunyai masalah seperti ini, hendaklah mencelupkan tangan di dalam bekas berisi air ais. Kemudian lap dan mulakan proses menguli. Ia perlu dilakukan berulang kali sepanjang masa.

Alas papan pencanai dengan dua lapisan plastik supaya mudah untuk mencanai dan menerap. Jika ada doh yang terletak pada plastik semasa anda mengalihkannya ke tepi, ini bermakna doh anda agak lembik dan perlu dicampur dengan tepung. Jika doh melekat pada acuan, celupkan sedikit ke dalam tepung.

Harus diingat bahawa biskut mesti dibiarkan sejuk di atas redai sebelum disimpan. Ini akan memastikan ia tahan lama dan tidak lemau atau masuk angin. Jenis biskut yang mempunyai campuran kacang juga tidak boleh dicampur dengan biskut biasa tanpa kacang. Alaskan setiap lapisan tat dengan kertas kalis minyak supaya tidak melekat.
Resepi Tart Kelopak

2.  PIZA

PIZA adalah antara sajian yang sentiasa mendapat tempat di hati kanak-kanak dan kebanyakan daripada kita. Ia berasal dari Itali dan sungguh popular sebagai makanan segera. Malah, ia boleh didingin beku dengan mudah untuk disimpan selama beberapa minggu di dalam peti pembeku.

Ada tiga langkah utama dalam menyediakan piza. Pertama, bahagian dasar. Memandangkan doh menggunakan yis, ketelitian perlu bila mengadunnya. Yis adalah bahan yang amat sensitif dengan suhu. Pastikan yis yang digunakan masih baru dan aktif.
Yis yang tidak aktif atau mati tidak mampu mengembangkan adunan. Hasilnya, piza akan menjadi keras dan tidak gebu. Yis menjadi tidak aktif jika ia terkena garam. Jadi, hendaklah dimasukkan garam ke dalam tepung terlebih dulu. Dengan cara ini, ia tidak akan tersentuh secara langsung dengan yis.

Jangan gunakan air panas kerana fungsi yis akan terbantut. Hanya gunakan air suam. Namun begitu, jika anda menguli dengan mesin, lebih sesuai menggunakan air sejuk. Ini kerana kepanasan doh meningkat dengan sendirinya bila diuli dengan mesin dalam jangka masa yang agak lama.

Teknik ulian mesti betul bila membuat doh piza. Lakukan di atas papan pencanai yang ditaburkan dengan tepung. Tolak doh dengan tapak tangan secara terus-menerus. Tarik dan tolak doh sehingga ia menjadi lembut, licin dan halus permukaannya. Jangan lupa gunakan tepung roti atau tepung berprotein tinggi kerana kandungan gluten memudahkan doh kembang.

Pelembut roti akan membuat doh piza lebih lembut.
manakala bread improver mempercepatkan proses mengembangkannya. Doh mesti diletak di tempat hangat supaya mudah kembang. Tempat paling baik adalah di dalam kereta yang diletakkan di bawah matahari terik.

Cara lain ialah menyediakan bekas besar atau periuk pengukus berisi air mendidih. Letak mangkuk berisi doh dengan penutup tuala. Kemudian tutup pengukus itu dan biarkan. Untuk menjimatkan masa, boleh gunakan sos piza di dalam botol. Anda juga boleh menyediakannya sendiri dan menyimpannya untuk digunakan pada waktu lain. Sos ini jugalah asas kepada sos tomato untuk spageti bolognese dan lasagne. Jika tidak cukup masa, campurkan sos tomato dan sos cili. Kemudian sapukan di atas doh piza.

Bahan atas untuk piza boleh diubahsuai mengikut selera masing-masing. Jika menggunakan daging atau ayam cincang, anda hendaklah memasaknya terlebih dulu. Tambahkan cili Benggala atau lain-lain sayuran yang anda gemari. Untuk menjimatkan masa, boleh gunakan sardin atau tuna di dalam tin.

Hirisan sosej atau salami lembu adalah pilihan yang sesuai. Salami adalah daging atau ayam dalam bentuk sosej yang sudah dicampur rempah dan disalai atau diproses hingga masak. Bagi penggemar sayur-sayuran pula, boleh mencelurnya sebelum digunakan.

Selain keju mozarela, anda boleh gunakan parutan keju cheddar. Sebaik-baiknya anda parut terus ke atas piza untuk mengelakkan ia berketul atau bergumpal.

Jika sukar mendapatkan oregano kering dalam botol, boleh gantikan dengan Italian seasoning. Herba seperti ini adalah penting untuk memberikan rasa asli atau autentik piza. Sekiranya anda boleh memperoleh daun basil segar, taburkan di atas piza sebaik saja ia dikeluarkan dari ketuhar.

Untuk menyimpan piza secara dingin beku, bakar sehingga separuh masak. Kemudian biar sejuk. Bungkus dengan plastik nipis sebelum diletak di dalam bekas bertutup. Anda juga boleh membungkus dengan kertas timah. Kemudian barulah disimpan dalam peti pembeku. Biar piza kembali ke suhu bilik semula sebelum dibakar seperti biasa.

Bagi yang tidak mempunyai masa atau kesabaran untuk menguli doh piza sendiri, boleh gunakan roti pitta. Selain menjimatkan masa, anda juga boleh mempelbagaikan bahan atasnya mengikut bajet dan kreativiti sendiri.

Resepi Piza
Jom kita pakat-pakat cuba.......

Sumber : Kosmo (Famili)

No comments:

Post a Comment