Jom Ikut

Monday, 21 January 2013

Salam Maulidur Rasul




Assalamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

Setinggi kesyukuran penuh kepujian kepada Allah SWT, dengan nikmat dan izin-Nya jua, dapat kita meraikan sambutan Maulidur Rasul pada tanggal 12 Rabiulawal 1434 Hijrah ini bersamaan 24 Januari 2013 Masehi. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW jua ke atas keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya ke atas sekalian Tabiin dan ulama sepanjang zaman.

Sesungguhnya, baginda Rasulullah SAW telah berjaya membawa transformasi murni kepada umat sejagat. Terbukti apabila kegelapan jahiliah telah sirna bila berhadapan dengan sinar risalah nubuwah. Transformasi insani ini lahir daripada kasih sayang dan keperihatinan baginda terhadap kesejahteraan umat sebagaimana yang disebutkan di dalam Al-Quran, surah at-Taubah ayat ke-128 yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”

Menjejaki sirah gemilang ini, kita dapat menyaksikan bagaimana melalui dakwah imaniah yang dibawa, akhirnya memunculkan satu tamadun yang sangat hebat kepada ummah. Maka bertepatan sekali dengan tema peringkat Kebangsaan “WASATIYYAH TONGGAK KESATUAN UMMAH” yang dipilih untuk tahun ini 2013 dalam usaha kita menjayakan agenda transformasi negara.


Sempena Maulidur Rasul kali ini, saya dan keluarga berdoa agar Allah SWT memberikan kepada kita semua limpahan taufik dan hidayah-Nya untuk kita memperteguhkan tekad dalam melaksanakan pembangunan negara. Ya Allah, abadilah rahmat dan nikmatMu di bumi bertuah ini; serta sempurnakanlah iltizam kami bagi memperjuangkan agenda ummah dengan segala kesyumulannya serta penuh hikmah. Kepada Mu-lah jua kami memohon kekuatan dan inayah. Amin.


Sekian. 





No comments:

Post a Comment