Bulan Ramadhan adalah bulan Ibadat yang penuh dengan rahmat dan
keberkatan, ganjaran bagi satu amalan sunat pada bulan ini adalah sama
dengan satu amalan fardhu pada bulan yang lain, dan satu amalan
fardhu adalah sama dengan 70 amalan fardhu pada bulan yang lain. Baginda
Rasulullah SAW akan melipat gandakan ibadatnya pada bulan yang mulia ini
walaupun baginda seorang yang maksum.
Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengikuti sunnah Rasulullah SAW
dengan meningkatkan Ibadat kita pada bulan Ramadhan ini melalui
tips-tips berikut:
1. Keutamaan Sahur Dan Mentakhirkannya
Selama Tidak Khuatir Akan Terbitnya Fajar
Dari Anas radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam bersabda: “Bersahurlah kamu sekalian kerana sesungguhnya di dalam
sahur itu terdapat barakah.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Zaid bin Tsabit radhiAllahu ‘anhu berkata: “Kami sahur bersama-sama
dengan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, kemudian kami melaksanakan
solat.” Ada seseorang bertanya: “Berapa lama antara sahur dengan solat itu?” Ia
menjawab: “Kira-kira 50 ayat.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari ‘Amr bin ‘Ash radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam bersabda: “Kelebihan puasa kami dan puasa ahli Kitab adalah
adanya makan sahur.” (HR Muslim)
2. Segera Berbuka Puasa Apabila Sudah Masuk Waktu Berbuka
Dari Sahl bin Sa’d radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam bersabda: “Manusia itu selalu dalam kebaikan selama mereka
segera berbuka puasa.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Anas radhiAllahu ‘anhu berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam sentiasa berbuka dengan beberapa biji ruthob (kurma yang baru masak)
sebelum solat. Jika tidak ada ruthob (kurma yang baru masak), maka beliau
sallAllahu ‘alaihi wasallam berbuka dengan tamar (kurma yang sudah kering).
Jika tidak tamar (kurma yang sudah kering), maka beliau sallAllahu ‘alaihi
wasallam meneguk air beberapa teguk.” (HR Abu Daud dan At-Turmudzi)
3. Berdo’a sepanjang berpuasa dan
ketika berbuka.
Diriwayatkan oleh Turmudzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ada 3 golongan yang tidak ditolak do’a
mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin negara yang
adil dan orang yang teraniaya.”
4. Menjauhi perkara-perkara yang
bertentangan dengan ibadah puasa.
Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alahi
wasallam bersabda: “Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah
seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan
janganlah bertengkar/berteriak. Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau
mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya aku sedang
berpuasa””. (HR Bukhari & Muslim)
Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam bersabda: ‘Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta
dan perbuatan buruk, maka Allah tidak memerlukan ia meninggalkan makan dan
minumnya.” (HR Bukhari)
5. Bersiwak atau menggosok gigi.
Amir bin Rabi’ah berkata, “Saya melihat Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam
bersiwak dan beliau pada saat itu sedang berpuasa. Kerana seringnya, maka saya
tidak dapat membilang dan menghitungnya.” (HR Bukhari)
Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu mengatakan bahwa Nabi sallAllahu ‘alaihi
wasallam bersabda, “Andaikan tidak memberatkan umatku, niscaya mereka
kuperintahkan bersiwak pada setiap kali berwudhu.” (HR Bukhari)
6. Bermurah hati dan banyak menderma.
Dari Ibnu Abbas radhiAllahu ‘anhu katanya: “Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu
lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril. Biasanya Jibril
menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari al-Quran.
Maka Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih murah hati melakukan kebaikan
dari angin yang bertiup.” (HR Bukhari)
7. Menggandakan amalan membaca dan
mempelajari al-Quran.
(Hadith Ibnu Abbas di atas menyatakan bahawa Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam bertadarus (mempelajari al-Quran) dengan Jibril pada setiap
malam Ramadhan.)
Membaca al-Quran adalah amalan biasa ummat Islam, tetapi sempena bulan
Ramadhan, hendaklah kita tumpukan betul-betul dan menggandakannya. Para ulama
apabila tibanya bulan Ramadhan akan memberhentikan kuliah yang diajar mereka
dan menumpukan kepada mempelajari al-Quran. Membaca untuk memahami al-Quran
yakni mentadabbur al-Quran adalah lebih utama dari membaca laju untuk
mengkhatamkannya beberapa kali pada bulan Ramadhan.
8. Memberi makan untuk berbuka puasa.
Dari Zaid bin Khalid Al-Juhanny radhiaAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang memberi makan untuk
berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang
berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa
itu.” (HR At Turmudzy)
9. Mendirikan malam dengan solat sunnat
(solat Tarawih)
Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam telah bersabda: “Barangsiapa yang mengerjakan solat sunnat
pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala
dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari &
Muslim)
10. Giat beribadah pada 10 hari
terakhir Ramadhan
Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata: “Bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam apabila masuk sepuluh terakhir bulan Ramadhan. diramaikannya waktu
malam, dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat erat kain sarungnya.” (HR
Bukhari & Muslim)
11. Beriktikaf pada 10 terakhir
Ramadhan.
Dari Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.” (HR
Bukhari & Muslim)
Dari Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehingga
Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam dipanggil ALLAH Ta’ala, kemudian setelah
beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam wafat, isteri-isterinya meneruskan kebiasaan
Beliau itu.” (HR Bukhari & Muslim)
Semuga Allah memberi kitataufik dan hidayah untuk menghayati
bulan Ramadhan dengan bersungguh-sungguh serta mengajak keluarga dan
rakan-rakan kita untuk sama-sama menghayatinya..
No comments:
Post a Comment